Sunday 1 January 2012

5 filem tempatan terbaik 2011

Penayangan pelbagai judul dan genre filem tempatan di pawagam terus merancakkan arena hiburan tanah air sepanjang 2011.

Apa yang lebih menarik, industri perfileman turut diwarnai dengan rekod kutipan pecah panggung yang baru, selain rantaian kontroversi yang silih berganti. Jika diselak pada sisi kecemerlangan, kita boleh tumpang gembira dengan kejayaan memberangsangkan oleh tiga filem yang mencatat kutipan tertinggi bagi 2011 iaitu KL Gangster dengan RM11.74juta, Ombak Rindu (RM11.05j) dan Hantu Bonceng (RM8.53j).
Namun, kalender perfileman kita turut tidak terkecuali daripada isu-isu panas dan sensasi termasuklah lambakan filem yang tertangguh menanti slot tayangan, trend filem seram yang mendapat teguran, dan kontroversi berkaitan dengan beberapa buah filem.

Nur Kasih The Movie (NKTM)
Arahan: Kabir Bhatia
Tayangan: 19 Mei 2011
Kutipan: RM4.93 juta
Kemunculan NKTM sememangnya memberikan impak kepada para peminat filem Melayu.
Selepas kejayaan rating luar biasa yang dicatatkan oleh drama bersirinya di TV3 sebelum ini, tayangan filem yang dibintangi Remy Ishak, Fizz Fairuz dan Tiz Zaqyah ini cukup dinantikan oleh peminat siri itu.
Sayangnya, penantian itu tidak diterjemahkan dengan jayanya seperti ramalan banyak pihak apabila NKTM sekadar mengutip RM4.93 juta walaupun ia hangat diperkatakan sebelum itu.
Mungkin kerana plot filemnya yang terhad dan rumit atau persaingan dengan filem-filem tempatan lain ketika ia ditayangkan telah membantutkan peluang filem ini meraih kutipan yang lebih besar.


KL Gangster
Arahan: Syamsul Yusof
Tayangan: 9 Jun 2011
Kutipan: RM11.74 juta
Filem kelima arahan pengarah muda Syamsul Yusof ini mencipta dua impak pada industri. Pertama, apabila rekod kutipannya sebanyak RM11.74 juta telah melonjakkan KL Gangstermenjadi filem Melayu yang mendapat kutipan tertinggi setakat ini.
Pencapaian itu bukan sahaja mencipta fenomena dan penanda aras baru pada kutipan filem Melayu, malah kejayaan filem Syamsul itu turut mengatasi fenomena sama yang pernah dilakukan oleh bapanya juga penerbit filem Datuk Yusof Haslam menerusiSembilu 2 dengan kutipan RM6.1j (1995).

Hantu Bonceng
Arahan: Ahmad Idham
Tayangan: 31 Ogos 2011
Kutipan: RM8.53 juta
Filem yang ditayangkan pada musim perayaan Aidilfitri lalu ini turut tidak terkecuali daripada tempias kontroversi.
Ia menjadi semakin panas apabila dialog dalam salah sebuah babak yang melibatkan pelakon utamanya Zizan Razak telah dikecam oleh banyak pihak kerana dilihat seakan mempersendakan Nabi Muhammad.
Kronologi kes tersebut bermula apabila dialog yang dilontarkan oleh Zizan seolah-olah menyamakan Rasulullah dengan syaitan sehingga mengundang campur tangan pihak berkuasa, jabatan agama dan paling panas apabila ia melibatkan parti politik PAS.
Kontroversi filem itu bagaimanapun berjaya diselesaikan dengan cara yang baik akhirnya.

Kongsi
Arahan: Farid Kamil
Tayangan: 12 Mei 2011
Kutipan: RM8.09 juta
Filem terbitan Metrowealth (MIG) ini memberikan kesan tersendiri pada dunia filem kita. Pertama,sebelum tayangan umumnya, ia sudah dicanang-canang sebagai sebuah filem aksi komedi yang luar biasa namun ramai yang kecewa selepas menonton kerana ia disifatkan tidak segah mana.
Bahkan, penerbitnya David Teo juga meletakkan sasaran kutipan yang tinggi iaitu RM12 juta tetapi ia gagal dicapai ekoran persaingan sengit filem-filem tempatan dan antarabangsa yang silih berganti.
Malah, filem ini juga dikecam oleh Pekida kerana seakan mempersendakan perkara sulit berkenaan pertubuhan berkenaan.
Pun begitu, Kongsi boleh berbangga kerana aktor utamanya Shaheizy Sam diangkat sebagai pelakon lelaki terbaik di FFM24 menerusi watak Tumulak itu.

Ombak Rindu
Arahan: Osman Ali
Tayangan: 1 Disember 2011
Kutipan: RM11.05 juta dan masih ditayangkan
Filem cinta dan air mata ini mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya mencatat jumlah kutipan luar biasa dan sekaligus mengungguli carta kutipan tertinggi filem Melayu setakat ini.
Menariknya, filem yang diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama karya Fauziah Ashari ini turut mengundang kontroversi apabila penulis tersebut mendakwa tidak mendapat royalti yang setimpal. Kejayaan filem ini di pawagam membuktikan bahawa selera penonton kita tidak hanya terbatas pada filem seram seperti yang sering didakwa oleh segelintir penerbit sebelum ini.



Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home