Saturday 2 March 2013

perang lahad datu

LAHAD DATU 1 Mac - Selepas hampir tiga minggu kerajaan membuka pintu rundingan kepada kumpulan bersenjata yang mendakwa Tentera Diraja Kesultanan Sulu, penceroboh itu hari ini memulakan serangan dengan menembak mati dua anggota komando polis dan menyebabkan tiga lagi cedera.
Dua anggota  yang terkorban ialah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud manakala mangsa yang cedera pula ialah Koperal Mohd. Tarmizi Hashim (tangan dan kaki), Koperal Azman Ampong (paha dan punggung) serta Konstabel Mohamad Qaiyum'aiqal Zolkifli (bahu kanan dan kedua-dua belah kaki).
Pertempuran meletus pada pukul 10 pagi apabila pasukan keselamatan negara yang bersiap melancarkan operasi menangkap anggota kumpulan penceroboh diserang ketika berada berdekatan sebuah surau lama di Kampung Tanduo menyebabkan mereka terpaksa melakukan serangan balas untuk mempertahankan diri.
Kejadian berbalas tembakan itu berlaku selama setengah jam dan membunuh 12 anggota kumpulan Tentera Diraja Kesultanan Sulu, seorang cedera dan 10 lagi menyerah diri.
Walaubagaimanapun, baki anggota penceroboh lain berpecah sebelum melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit berdekatan.

Namun, tiada sebarang pengesahan dibuat pihak keselamatan negara mengenai perkembangan terbaharu itu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dalam sidang akhbar tergempar di Felda Sahabat, dekat sini berkata, pasukan penceroboh terlebih dahulu melepaskan tembakan setelah terserempak dengan anggota pasukan keselamatan negara yang memasuki kawasan tersebut bagi memperketatkan kepungan.
Katanya, sebaik pertempuran berhenti pasukan keselamatan diketuai VAT 69 dan dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas dua laras raifal M-16, dua laras raifal semi auto, dua pucuk pistol, peluru pelancar roket (dipercayai dari jenis RPG), kelopak peluru serta beberapa beg pakaian milik anggota penceroboh.
"Apabila mereka terlebih dahulu melepaskan tembakan, pasukan keselamatan negara terpaksa membalas balik untuk mempertahankan diri. Pertempuran tersebut yang mengambil masa antara 20 hingga 30 minit menyebabkan dua daripada anggota keselamatan negara meninggal dunia, manakala tiga lagi cedera.
"Kesemua anggota keselamatan kita yang cedera dan terbunuh akibat terkena tembakan tersebut berjaya dikeluarkan, tetapi mayat 12 anggota kumpulan penceroboh yang terbunuh masih berada di kawasan Kampung Tanduo," katanya sambil menegaskan pertempuran itu bukan bermakna operasi tersebut telah berakhir.


Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home