Friday 14 September 2012

Filem hina nabi


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
REUTERS
ORANG ramai melarikan diri apabila polis melepaskan tembakan ke udara bagi menyuraikan protes terhadap filem anti-Islam di luar Kedutaan AS di Sanaa, Yemen semalam.


LOS ANGELES - Seorang lelaki dari negeri California mengaku dia memainkan peranan di sebalik pembikinan filem yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW sekali gus mencetuskan bantahan hebat umat Islam terutamanya di Mesir dan Libya kelmarin.
Lelaki berkenaan, Nakoula Basseley Nakoula yang mengamalkan ajaran Kristian Koptik dan pernah didapati bersalah kerana melakukan jenayah kewangan memberitahu agensi berita Associated Press (AP) bahawa dia memainkan peranan mengurus dan membekalkan logistik untuk produksi tersebut.
Lelaki berusia 55 tahun itu turut mengaku dia adalah pengurus syarikat yang menerbitkan filem berjudul Innocence of Muslims itu.
Namun, dalam satu temu bual dekat sini kelmarin, Nakoula menafikan dia mengarahkan filem biadap itu.
Sebaliknya, dia menyatakan mengenali penulis dan pengarah Innocence of Muslims, Sam Bacile.
Bagaimanapun, nombor telefon yang dihubungi AP pada Selasa lalu untuk menelefon Bacile didapati menggunakan alamat sama dengan lokasi di mana Nakoula ditemui.
Rekod mahkamah persekutuan AS menunjukkan Nakoula mempunyai beberapa nama lain termasuk Nicola Bacily dan Erwin Salameh.
Lelaki itu menyatakan bahawa Bacile menyokong kebimbangan berhubung layanan buruk umat Islam terhadap penganut Kristian Koptik.
Namun, Nakoula menafikan dia menyamar diri sebagai Bacile.
Semasa temu bual tersebut di luar rumahnya, lelaki itu menunjukkan lesen memandunya untuk mengesahkan identitinya tetapi dia menggunakan ibu jari untuk menutup nama tengahnya, Basseley.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang paderi yang mencetuskan kemarahan umat Islam dengan membakar beberapa naskhah al-Quran, Terry Jones menyatakan, dia sempat berbual dengan Bacile melalui telefon kelmarin.
Jones berkata, lelaki berkenaan menghubunginya beberapa minggu lalu untuk mempromosikan filem tersebut.
"Saya tidak menemui dia. Sam Bacile bukan nama sebenarnya.
"Saya cuma bercakap dengannya melalui telefon. Dia tentu bersembunyi dan tidak mendedahkan identitinya," kata Jones.
Bacile sebelum ini menyatakan dia dilahirkan di Israel, berusia 56 tahun dan berketurunan Yahudi.
Seorang aktivis Kristian yang turut terlibat dalam projek filem berkenaan, Steve Klein memberitahu kelmarin bahawa Bacile merupakan nama samaran pengarah filem tersebut dengan dia seorang penganut Kristian.
Terdahulu, beberapa pegawai di Israel berkata, tiada rekod ditemui menyatakan Bacile seorang rakyatnya.
Menurut Klein, sekitar 15 pelakon dari Syria, Iraq, Turki, Pakistan, Iran dan beberapa penganut Kristian Qibti Mesir terlibat dalam filem Innocence of Muslims.
"Kebanyakan mereka enggan memberitahu nama sebenar kerana mereka takut," kata Klein.
Sementara itu, YouTube telah menarik balik klip video filem itu di Mesir dan Libya kelmarin. Namun, video berkenaan masih boleh diakses di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain.
Dalam perkembangan terbaharu, pihak berkuasa Libya membuat beberapa tangkapan berhubung serangan ke atas Kedutaan AS di Benghazi
"Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kehakiman telah memulakan siasatan dan mengumpulkan bukti dengan beberapa orang telah ditangkap," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wanis Al-Sharif.
Namun, beliau enggan memberikan butiran terperinci berhubung bilangan orang yang ditangkap atau latar belakang mereka kerana tidak mahu menjejaskan siasatan. - Agensi

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home